Sunday, September 9, 2012

soalan untuk scan trimester pertama

Melakukan imbasan ultrabunyi(atau imbasan ultrasound) semasa minggu-minggu awal kehamilan merupakan satu pengalaman yang mendebarkan hati. Sungguh istimewa apabila melihat tompok hitam bersama denyutan jantungnya yang akan menjadi bayi anda.

Tetapi, skan juga boleh membimbangkan. Bagaimana jika denyutan jantung tidak dikesan? Bagaimana jika yang dilihat lebih kecil daripada yang sepatutnya? Ada apa-apa masalah ke? Ingatlah yang anda mungkin memerlukan skan kedua sebelum anda berpuas hati yang semuanya selamat.


Bilakah masanya saya membuat skan pertama?

Semua wanita hamil dinasihati melakukan skan pentarikhan semasa dalam enam hingga 14 minggu kehamilan. Jarak dari mercu kepala ke punggung janin (crown-rump length - CRL) diukur untuk menentukan tarikh dijangka bersalin (expected delivery date - EDD).

Skan ini disyorkan sebelum anda menjalani ujian saringan untuk sindrom Down, sebab dengan adanya tarikh bersalin yang tepat, ujian tersebut menjadi lebih tepat. Sebenarnya, hormon-hormon yang diukur dalam ujian darah adalah berbeza mengikut peringkat kehamilan, jadi apa yang sepatutnya normal pada 14 minggu kehamilan adalah tidak normal pada 16 minggu kehamilan.

Jika ujian darah dilakukan terlalu awal disebabkan jangkaan tarikh yang salah, ini mungkin akan menyebabkan anda dikatakan berisiko tinggi sedangkan tiada apapun yang cacat mengenai bayi anda. Ini dikenali sebagai keputusan positif palsu.

Bolehkah skan pentarikhan trimester pertama memberitahu dengan tepat berapa minggukah kehamilan saya?

Tujuan utama skan itu ialah untuk mengetahui tempoh kehamilan anda dan menganggarkan tarikh bersalin. Tempoh kehamilan anda dikira dari hari pertama haid anda yang terakhir (last menstrual period - LMP), walaupun sebenarnya anda belum menjadi hamil sehingga 14 hari selepas LMP anda, atau lebih lewat dari itu jika kitaran haid anda lebih daripada 28 hari. LMP digunakan sebab kebanyakan wanita tahu tarikh haid terakhir tetapi mungkin tidak tahu bila mereka menjadi hamil. Jika anda tahu tarikh penghamilan berlaku, ia akan dikira sebagai hari ke-14 dan bukannya hari pertama.

Jika kitaran haid anda jenis yang tidak tetap atau jika anda ada mengambil pil pencegah kehamilan sebelum itu, menggunakan tarikh LMP untuk kiraan bukanlah metod yang tepat. Skan adalah lebih tepat daripada menggunakan LMP dan jika tarikh skan berbeza daripada tarikh haid, tarikh yang diperolehi dari skanlah yang diambil.

Selalunya, tarikh skan adalah lebih lewat daripada tarikh haid, sebab itulah didapati bahawa pentarikhan yang tepat telah mengurangkan bilangan wanita yang bersalin secara dicetuskan sebab bayi mereka terlewat. Ia juga membantu anda mengelakkan rasa kecewa yang mungkin dialami apabila bayi anda "lewat".

Apa lagikah yang ditunjukkan oleh skan trimester pertama?

Skan ultrasound boleh memeriksa yang bayi anda mempunyai denyutan jantung dan berkembang secara normal. Kepala, anggota badan, tangan dan kaki, dan beberapa organ bayi boleh dilihat dan – walaupun tujuan skan bukanlah untuk memeriksa kecacatan – beberapa masalah utama boleh dilihat pada peringkat awal ini. Anda masih perlu melakukan skan pada kira-kira 20 minggu kehamilan sebab lebih banyak butir-butir dapat dilihat apabila bayi menjadi lebih besar.

Skan trimester pertama juga dapat menunjukkan jika kandungan anda itu kembar, kembar tiga atau lebih dari itu. Ada manfaatnya jika mengetahui lebih awal tentang bayi kembar sebab masa ini lebih mudah untuk melihat sama ada mereka berkongsi plasenta atau tidak. Mengetahui tentang bayi kembar awal juga memberikan anda lebih masa untuk bersiap sedia untuk kelahiran dan bagi doktor anda merancang penjagaan anda.

Mengetahui tentang bayi kembar juga memanfaatkan jika anda berhasrat untuk melakukan ujian saringan sindrom Down. Sebabnya ialah ujian biasa untuk Down ialah ujian darah pada minggu ke-16, dan ujian ini tidak tepat jika terdapat lebih dari seorang bayi. Sebaliknya anda akan ditawarkan skan nuchal translucency. Baca dengan lebih lanjut mengenai skan yang berkaitan bayi kembar.

Apakah yang dialami semasa skan trimester pertama?

Skan ultrasound akan mengambil masa kira-kira lima hingga 10 minit. Hampir semua skan selepas minggu ke-10 boleh dilakukan melalui perut dan kebanyakan doktor akan meminta anda datang dengan pundi kencing yang penuh. Doktor akan menyapukan gel pada perut anda dan akan menggerakkan transduser tangan yang kecil merata-rata atas kulit perut anda untuk mendapatkan beberapa gambaran bayi anda.

Jika rahim anda terlalu jauh ke dalam pelvik anda atau jika anda mempunyai berat badan berlebihan, anda akan diberikan skan vagina yang mana boleh mencapai lebih hampir kepada bayi. Selalunya ia adalah selesa dan kebaikannya ialah anda tidak perlu datang dengan pundi kencing yang penuh.

Berapa besarkah bayi saya pada skan trimester pertama?

Bayi anda akan diukur dari kepala ke punggung. Ukuran ini, yang dikenali sebagai Jarak CRL, adalah sangat tepat pada trimester pertama. Selepas minggu ke-13, bayi akan mengerekot dan meregang, jadi pengukuran panjang menjadi kurang tepat. Selepas ini, keluasan kepala adalah cara terbaik untuk mengukur bayi anda.

• Pada minggu ke-10, ia berukuran 3 sm.
• Pada minggu ke-12, ia berukuran 5-6 sm
• Pada minggu ke-13, ia berukuran 7 sm

Bolehkah saya menjalankan skan nuchal pada masa yang sama?

Ukuran nuchal translucency boleh dibuat dari minggu ke-11 hingga minggu ke-13 dan 6 hari untuk menganggar risiko sindrom Down dan lain-lain abnormaliti kromosom. (Baca dengan lebih lanjut mengenai saringan untuk sindrom Down.)

Sesetengah hospital menyediakan skan nuchal translucency kepada semua wanita pada minggu ke-11 hingga minggu ke-13 dan 6 hari, tetapi ini tidak disediakan di semua hospital buat masa ini.

Adakah terdapat sebarang keburukan melakukan skan ultrasound?

Kadang-kala, menjalankan skan boleh mendatangkan kerisauan yang tidak wajar. Ia mungkin menunjukkan masalah yang sangat kecil atau satu-satu masalah yang akan pulih dengan sendirinya.

Sepertimana semua ujian saringan, akan terdapat keputusan "positif palsu" dan "negatif palsu". Sebagai contoh, kira-kira satu dalam 20 orang wanita ditunjukkan sebagai berisiko tinggi bagi sindrom Down hasil daripada skan nuchal translucency, tetapi didapati kemudiannya kebanyakan bayi-bayi ini dilahirkan normal. Terpulanglah kepada anda sama ada mahu melakukan skan atau tidak – anda tidak perlu jika anda tidak mahu. Jika anda tidak pasti, berbincanglah dengan doktor anda.


No comments: