Tuesday, January 8, 2013

cara nak hamil

berdasarkan pengalaman seseorang dari forum ratu hati...

assalamualaikom...

saya reen .. pada mulanya saya suka membaca semua kisah di forum ratu hati yang bermasalah untuk hamil kerana saya merupakan salah seorang yang sukar untuk hamil kerana

1. period tidak teratur
2. pernah mengalami keguguran
3. terlalu aktif

jadi setelah tiga tahun sah menjadi isteri orang, agak tercabar kerana saya tidak lagi hamil.. dan saya nekad untuk hamil dan usaha pelbagai cara..jadi disini saya ingin berkongsi kepada kawan2 yg ingin hamil..mungkin boleh membantu kawan2 yg lain.. amin....

pada 1 jan-jun 2012 saya langsung tidak didatangi haid dan sgt merunsingkan..jadi saya mencuba

1. jus perawan plus collagen (rm35) -akhirnya seminggu kemudian saya period
2. dr kata saya kurang air..sbb tu susa nk period

~( sy minum air 600ml + madu 3sudu teh) x 3..so sehari saya minum 1800ml + 9 sudu teh madu..so kpd kwn2 yg tidak teratur haidnya cuba minum air yg byk..mungkin peranakan kering dan madu membantu peredaran darah

jadi pada 1-7julai 2012 saya period

~semasa period saya minum air+madu byk2 dan tamat genap pada 7 july

dari segi kedoktoran (scientific) saya makan

1. clomid (pada hari ke-5 haid - hari ke-9)
2. folic acid (pada hari ke-6 hingga sekarang)
3. saya mencuba ujian kesuburan (OPK TEST) pada 12july sehingga 18julai) dan kesan positive pada hari ke 17..

dari segi keagamaan:-
1. solat 5waktu jgn tinggal
2.solat hajat setiap malam
3. sedekah walaupun beri coklat pada anak2 kecil
4.memberi susu kepada binatang dan berbicara dengannya spt doakan saya mengandung ya..

cara tradisional:-
1.minum air kunyit pada hari ke-8 hingga hari ke-10 (3hari berturut2) pada waktu pagi sebelum sarapan dan jgn mkn apa2 sehingga setengah jam..mmg pahit tapi tahan la sikit..

semasa ovulation:-
1. saya sakit di bawah perut (ari2) selama 3 hari iaitu pada 15-17july dan 17 july terbukti ovulation test saya positive

untuk mendapatkan ovulation yg baik saya cuba pemakanan tersebut:-
1. minum jus epal setiap hari
2.makan badam setiap hari
3. makan kismis 5 biji setiap pagi
4. minum air + madu

selepas ovulation saya kekalkan

1.minum air + madu
2. minum air epal
3. makan badam
4. makan kismis

dan akhirnya saya belum lagi cukup sebulan or due period blm tiba saya sudah dapat positive result utk kehamilan iaitu pada 26 july saya pergi farmasi dan membeli opk test dan keputusan satu line clear dan satu lagi samar..selepas itu, dua hari kemudian iaitu pada 28july saya cuba lagi upt test dan line yg samar2 menjadi lebih terang.. Alhamdulillah...

saya harap pengalaman saya yang susah nak tahu waktu kesuburan ini dapat membantu rakan2 yang lain... selamat mencuba dan saya sentiasa mendoakan yang terbaik...amin..

cara teguhkan kasih sayang suami isteri

Selepas beberapa tahun berkahwin, hati mulai terasa bosan dengan pasangan. Mengapa hal ini boleh terjadi? Pupuklah kembali rasa kasih sayang itu agar kehangatannya seperti anda baru berkahwin. Buntu memikirkan caranya? Baca dan telitilah 90 cara yang tertera di bawah:-

1. Tunggu suami di pintu
Suatu perkara yang disenangi oleh pihak suami ketika dia pulang kerja ialah isteri bersedia dengan muka yang manis di hadapan muka pintu. Tentu hilang segala keletihan yang ditanggung oleh suami di tempat kerja apabila melihat senyuman manis isteri. Apatah lagi, si isteri menyediakan segelas air untuk melepaskan dahaga. Tentu cik abang tambah sayang!

2. Pasang VCD cerita filem pertama yang anda tonton semasa ‘date’ pertama dan sajikan makanan enak
Masihkan anda ingat lagi waktu anda pertama kali keluar dengan si dia? Amboi! Waktu itu semua dirasakan indah belaka. Harap anda masih ingat lagi cerita filem yang anda berdua tonton sewaktu pertama kali keluar berdua. Hah! Apa lagi, pinjam semula cerita itu dari mana-mana kedai dan tontonlah semula. Suami atau isteri anda pasti tersenyum dan faham maksud anda. Tambah merancakkan lagi, hidanglah makanan yang enak-enak ketika menonton.

3. Ikut bermain mainan kegemarannya walaupun anda tak suka
Kegemaran suami mungkin bukan kegemaran anda. Begitu juga suami yang tidak menggemari hobi isteri seperti memasak atau berkebun. Apapun, isteri contohnya bolehlah cuba berjinak-jinak dengan kegemaran suami yang suka bermain badminton. Jika anda tidak pandai bermain badminton cukuplah sekadar menjadi penonton ketika dia bermain dengan rakan-rakannya. Tambah manis jika anda membantunya mengelap peluh atau sekurang-kurangnya menuang air untuknya.

4. Nyanyikan lagu kegemaran anda berdua sewaktu dalam perjalanan
Masa asyik bercinta dulu, pasti anda berdua ada meminati lagu-lagu tertentu. Lagu ‘My Heart Will Go On’ contohnya menjadi kegilaan pasangan yang begitu asyik bercinta sedikit masa dahulu. Atau setidak-tidaknya mungkin lagu daripada penyanyi tempatan seperti ‘Dua Insan Bercinta’ nyanyian Ella boleh dijadikan tema percintaan anda berdua. Apa kata, setelah masuk tahun kelima anda berumahtangga ini, nyanyikan semula lagu-lagu tersebut ketika anda berdua-duaan. Pasti suasana menjadi syahdu sekali.

5. Baiki bajunya yang koyak dan kemaskan almarinya
Sekali-sekala, beleklah baju-baju lama suami dan jahitlah mana-mana baju atau kainnya yang koyak. Selain itu anda boleh mengemas almari bajunya supaya kelihatan kemas dan sedap mata memandang.

6. Tempah mug dengan foto anda berdua
Barangkali idea untuk menempah mug yang tertera wajah anda dan pasangan mungkin idea yang sungguh menarik. Mug bukanlah mahal sangat tetapi dengan meletakkan gambar anda berdua ia ajan menjanjikan kenangan seumur hidup yang sangat manis. Anak-anak pun tumpang gembira kerana wajah ibubapa mereka boleh ditatap setiap hari.

7. Tatap anak matanya dalam-dalam
Setiap hari apabila anda bangun daripada tidur anda mungkin lupa untuk menoleh pasangan anda di sebelah. Namun, hari ini mulakan dimensi baru dalam hidup anda. Kejutkan pasangan anda dan tataplah anak matanya dalam-dalam dengan renungan yang sungguh manja. Pasangan anda mesti gembira bercampur terkejut dengan tindakan anda. Itulah yang perlu dilakukan untuk menghangatkan kembali sebuah hubungan kasih sayang.

8. Kejutkan dia dan ajak berkelah hujung minggu
Hendak ke mana hujung minggu ini? Bangun daripada tidur bersiap-siaplah dengan kelengkapan berkelah dan kejutkan pasangan anda yang tengah nyenyak tidur. Katakan kepadanya yang anda mahu membawanya berkelah di suatu tempat yang istimewa. Biarkan dia terpinga-pinga kerana anda memang mahu membuat kejutan untuknya.

9. Lakukan spa atau sauna bersama
Setelah anda penat bekerja, anda berdua tentu ingin memanjakan diri anda dengan sesuatu yang berbaloi. Pergilah ke mana-mana pusat gim atau pusat peranginan yang menyediakan perkhidmatan spa atau sauna. Bawa pasangan anda ke spa atau sauna dan nikmati ia bersama-sama dengan penuh kepuasan.

10. Jangan asyik meminta-minta tapi tak beri langsung
Jangan meminta perkara yang bukan-bukan daripada pasangan. Sekarang, bukan sahaja perempuan dikaitkan dengan istilah ‘pisau cukur’ tetapi lelaki pun tidak kurang juga bakatnya dalam bidang ini. Jadi, berpada-padalah apabila meminta dengan pasangan.

11. Isi beg kerjanya dengan makanan kegemarannya dalam diam-diam
Pasangan anda mungkin tidak pernah menjangkakan bahawa beg kerjanya diletakkan dengan makanan kegemaran. Anda boleh memasak makanan kegemarannya dan letakkan secara diam-diam ke dalam begnya. Apabila dia di tempat kerja nanti, tentu dia terkejut apabila di dapati makanan kegemarannya sudah sedia untuk di makan.

12. Buat tanda ciuman atau nota cinta pada kertas dan letakkan di dalam buku/akhbar yang dibaca
Memang sesuatu yang erotis jika kita dapat melekapkan bekas ciuman atau nota cinta anda dan hadiahkan kepada pasangan. Caranya, letakkan kertas yang memiliki bekas ciuman tersebut ke dalam helaian terakhir buku yang sedang dibacanya. Pasti teman anda terkejut apabila dia membuka buku keesokkan harinya.

13. Rakam acara olahraga yang tak sempat ditontonnya
Kebetulan pada hari yang dinanti-nantikan, pasangan anda terpaksa keluar kerana ada mesyuarat atau hal lain. Jadi, jika ada perlawanan bola sepak yang disiarkan secara langsung, elok anda rakamkan dan tunjukkan kepadanya bila dia pulang.

14. Buat ‘surprise party’ di restoran kegemaran
Anda boleh menngadakan surprise party untuk pasangan anda di mana-mana restoran eksklusif. Parti yang dimaksudkan mungkin terdapat acara yang boleh memberikan pengalaman paling manis untuk mengeratkan lagi kasih sayang anda berdua. Makanlah sepuas-puasnya kerana ini adalah hari untuk anda berdua.

15. Sediakan makanan kegemaran walaupun anda tidak suka
Anda mungkin tidak sukakan hidangan pucuk ubi gulai tempoyak tetapi pasangan anda amat menyukainya. Cubalah memasak hidangan itu untuk suami biarpun anda sendiri kurang menggemarinya. Mudah-mudahan hati anda menjadi lembut untuk menyukai makanan tersebut dan cik abang pula tambah sayang pada anda.

16. Sesekali jemput dia dari tempat kerja ajak dia makan malam
Meskipun anda berdua-dua mempunyai kereta sendiri, apa salahnya satu hari anda menghantar dan menjemputnya dari pejabat. Dan singgah di restoran yang terkenal. Biarkan dia terasa dilayan bagaikan puteri.

17. Bangunkan suami dan nikmati matahari terbit
Sewaktu anda terbangun daripada tidur yang lena, kejutkan suami anda yang masih tidur. Ajak dia menikmati keindahan matahari yang tengah terbit. Suasana pasti menjadi bertambah romantis apabila anda berdua-duaan tanpa gangguan.

18. Picit bahunya sewaktu dia relaks atau menonton televisyen
Alangkah indahnya kalau ada orang yang memicit bahu atau kaki ketika kita sedang berehat sambil menonton televisyen. Jadilah dayang atau hulubalang yang sedia melakukan apa sahaja untuk membahagiakan tuannya. Jika mahu gunakan skrip purbawara sebagai gurauan kepada pasangan.

19. Lakukan tugas kecil yang tak sempat dilakukannya
Semua suami akan rasa berbesar hati jika para isteri dapat membereskan tugas-tugas kecil seperti membayar bil api, air atau telefon yang tidak sempat dilakukan oleh suami. Tugas-tugas kecil ini nampak remeh tetapi sebenarnya amat membantu para suami. Jika anda berjaya membantu suami, memang nampak sangatlah anda berdua mengamalkan sikap tolak ansur.

20. Belai atau elus rambutnya dengan perlahan
Para isteri mahupun suami sangat suka rambut mereka dibelai atau dielus dengan lembut. Apa kata, selepas anda makan malam dan berehat-rehat di anjung rumah, ambil peluang ini untuk membelai rambut pasangan dengan belaian yang paling lembut dan erotis.

21. Belai badannya dengan buih mandian atau buat manicure
Kasih dan sayang akan bertambah hangat apabila anda bersedia untuk membelai pasangan dengan buih mandian. Aktiviti ini boleh dilakukan ketika mandi bersama pasangan. Selepas puas bermandi-manda buih, lakukan manicure (penjagaan kuku) pada suami. Siapa kata suami tidak boleh lakukan manicure untuk isteri?

22. Pakai perhiasan hadiah daripadanya
Pada hari-hari ulang tahun atau hari istimewa, anda mungkin memperoleh hadiah daripada suami. Jika dia menghadiahkan anda seutas rantai leher, pakailah rantai tersebut dengan perasaan bangga. Pasangan anda pasti turut berasa bangga.

23. Biarkan dia bermalas-malas pada hari rehat tanpa gangguan
Sekali-sekala suami ingin menjadi seperti raja yang boleh bermalas-malasan sesuka hati di atas katil. Sebagai isteri anda bolehlah membiarkan suami bermalas-malasan seketika. Mungkin si suami mendambakan ‘privacy’ seketika.

24. Sesekali biar dia menang dalam permainan anda dengannya
Jika anda berdua memang kaki catur atau karom dan anda selalu menang. Maka kali ini, anda perlu memberi peluang pada pasangan untuk menang. Anda boleh lihat reaksinya yang begitu seronok kerana dapat mengalahkan anda. Apabila melihat kepuasannya itu, biarkan dia hanyut seketika dalam khayalannya itu.

25. Tunjukkan senyuman pada pasangan
Senyuman manis pasangan adalah penawar paling mujarab untuk merawat hati yang gundah dan risau. Jadi, anda janganlah kedekut dengan senyuman. Senyumlah sentiasa khas untuk pasangan tersayang. Hati pasangan jadi tenang dengan senyuman anda. Siapa yang untung jikalau tidak anda dan keluarga anda!

26. Sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu beri ciuman curi tapi mesra di telinga dan lehernya
Susah sangatkah untuk menghadiahkan sebuah ciuman curi mesra di telinga dan leher suami atau isteri anda? Mudah sahaja. Apabila anda melihat pasangan anda sedang leka, maka hadiahkanlah dia dengan ciuman atau kucupan paling hangat dan bermakna. Tidak payah kata-kata puisi, satu ciuman sudah cukup untuk merungkaikan segala-galanya.

27. Jangan berleter panjang jika dia melakukan kesilapan
Semua orang melakukan kesilapan. Apatah lagi kita yang berumahtangga ini. Jika suami mahupun isteri telah melakukan kesilapan yang tidak disengajakan mahupun yang memang disengajakan, janganlah berleter panjang untuk melepaskan rasa marah. Para suami khasnya memang tidak gemar mendengar isteri berleter biarpun di atas perkara yang sangat kecil.

28. Risik hadiah apa yang dimahukannya untuk ulang tahun
Setiap kali menjelang ulang tahun perkahwinan ataupun peningkatan usia pasangan, risik-risiklah hadiah apa yang dia mahukan. Pergilah beli hadiah tersebut secara bersembunyi yakni tanpa diketahui oleh pasangan. Berikan hadiah tersebut padanya dan cuba lihat reaksinya yang terlalu gembira.

29. Jangan mengata pasangan bertambah gemuk dengan nada kejian
Anda sendiri tidak gemar dikatakan gemuk apatah lagi pasangan anda. Boleh menegur tetapi biarlah beralas. Lelaki ‘boroi’ memang melucukan. Namun, suami anda sendiri mungkin tidak gemar dikatakan gemuk mahupun boroi.

30.Biarkan dia memilih filem yang hendak ditonton bersama
Jika anda mahu memilih filem untuk ditonton bersama, berilah si dia peluang untuk memilih filem. Siapa tahun filem pilihannya memang bagus untuk ditonton. Sewaktu menonton, janganlah terlalu banyak mengulas atau mengkritik biarpun anda memang tidak gemar jalan ceritanya.

31. Datang ke pejabatnya diam-diam dan kejutkan dia dengan hadiah istimewa
Anda boleh datang ke pejabatnya secara diam-diam dan berikan dia hadiah yang disukainya. Pasangan anda pasti terharu dengan tindakan anda. Lebih-lebih lagi dia memang tidak menjangkakan perkara tersebut akan berlaku dalam hidupnya.

32. Berusahalah untuk dapatkan tiket acara olahraganya yang diminatinya.
Bagi isteri yang suaminya kaki ‘olahraga’ memang bagus sangatlah jika si isteri membelikan tiket untuk suaminya yang tercinta. Si isteri perlu prihatin selalu dengan iklan sukan olahraga yang dijadual berlangsung.

33. Tertawalah dengan gurauannya walaupun tidak terlalu lucu
Walaupun suami anda bukan Edie Murphy dan isteri anda bukan Whoopi Goldberg apa salahnya tertawa apabila mendengar lawak jenakanya. Walaupun tidak lucu, sekurang-kurangnya anda tersenyum dan mengiyakan lawaknya itu. Terubat jugalah hati pasangan anda.
34. Puji bahagian tubuhnya yang anda anggap seksi
Mesti ada bahagian tubuh suami atau isteri yang puja dan anggap seksi di mata anda. Pujilah bahagian tubuh yang seksi itu. Katakan kepada pasangan anda yang anda sukakan bahagian tubuh pasangan anda yang seksi itu. Ops… tidak tahu bahagian mana yang seksi? Anda sebagai pasangannya mesti tahu zon-zon seksi dan berahi tersebut.
35. Kirim SMS dan katakan ‘I love U
Seiring dengan zaman yang serba canggih ini, anda boleh mengirim SMS dan taiplah ungkapan keramat ‘I Love U’ dan tekan butang send.Tunggu sebentar dan nantikanlah balasan SMS darinya pula yang pastinya mengandungi kata-kata manis untuk anda.
36. Bersikap manis dan hormat pada mertua
Jangan biarkan muka yang kusam dan masam menghiasi wajah anda terutamanya ketika menziarahi mertua. Bersikap manislah di hadapan ibu mertua dan sanak saudara sebelah pasangan anda. Mudah-mudahan pasangan anda rasa terharu dan menghargai apa yang anda lakukan itu.
37. Biarkan dia memakai baju yang disukainya
Walaupun anda adalah pasangannya, anda tidak berhak untuk memaksa pasangan untuk memakai pakaian yang anda suka dan hanya cantik di mata anda sahaja. Berikan dia sepenuh kebebasan untuk memilih dan memakai pakaian kegemarannya sendiri.
38. Tidak membuat pasangan tertunggu-tunggu
Kebanyakan orang memang tidak gemar menunggu, tetapi hanya sedikit yang tidak gemar orang tertunggu-tunggu kehadirannya. Jadi, jangan jadikan pasangan anda patung bernyawa di tempat yang dijanjikan. Kasihan dia, dah lenguh lehernya memandang kiri dan kanan, tapi wajah yang dicari tak kunjung tiba. Takut nanti dia angkat punggung, anda pula yang jadi ‘patung’.
39. Tunjukkan kegembiraan atas perkara yang diminatinya
Jika pasangan anda gemar membelek-belek set kristalnya menjelang malam, janganlah anda berleter dengan minatnya itu. Cuba tunjukkan kegembiraan dan berkongsilah kegembiraan itu dengan anak-anak. Jangan menunjukkan kebencian terhadap minat pasangan. Sokonglah minat suami seberapa yang anda mampu.
40. Berpakaian kemas di hadapan pasangan
Salah satu cara untuk mengikat kasih sayang suami isteri ialah sentiasa berpakaian kemas dan bersih ketika berhadapan dengan pasangan mereka. Jika anda serebeh sana sini, sesiapapun memang tidak gemar mendekati. Berpakaian kemas bukanlah bermaksud anda mesti lengkap berkebaya siap bersanggul atau yang suaminya berbaju Melayu bersamping. Cukup sekadar pakaian yang bersih, berbau harum dan menyenangkan mata memandang.
41. Beri galakan kepada pasangan
Ada ketikanya anda rasa sudah lali dengan pasangan. Dalam perkataan lain, perhubungan jadi hambar dan tidak bermakna. Anda sudah jemu dengan aktiviti harian anda bersamanya. Dan anda rasa masa depan anda dengannya gelap. Sebenarnya anda perlu sentiasa berikan galakan kepadanya. Sebagai pasangan, anda perlu jadi pemangkin kepadanya bukannya mengharap yang sebaliknya. Galakkan dia untuk melakukan aktiviti yang lebih menyeronokkan dan lebih bersungguh-sungguh membina kerjaya. Supaya anda nampak masa depan bersamanya.
42. Kenali pasangan dengan sempurna
Percaya atau tidak jika dikatakan bahawa tidak semua suami atau isteri mengenali dengan sempurna pasangan masing-masing. Kalau ditanya berapa tahi lalat suami, mungkin ada isteri yang tidak tahu jawapannya. Namun, bukanlah itu semua yang harus diperhati. Banyak aspek lain lagi mengenai suami yang anda tidak tahu. Umpamanya, mungkin suami tidak gemar sikap boros dan sangat berjimat. Anda perlulah peka situasi ini.
43. Pelajari keinginan pasangan
Cuba risik apa keinginannya. Tidak kira makanan, pakaian, hobi atau di tempat tidur. Persembahkan sesuatu yang digemarinya sekadar yang termampu. Jika tiidak melampau, apa salahnya anda ikuti kehendaknya.
44. Beri pujian terhadap pasangan
Memuji pasangan dengan ikhlas banyak gunanya. Kata-kata yang manis memang dapat menambat hati isteri. Puji-memuji memang baik untuk lebih mengeratkan lagi sebuah perhubungan. Hari ini mulakan memuji masakan isteri. Pasti isteri akan tersenyum riang dengan pujian tersebut.
45. Berterima kasih pada pemberian pasangan
Sikap berterima kasih sangat perlu untuk menyatakan kesyukuran kita terhadap pemberian seseorang terutamanya suami atau isteri. Apabila suami menghadiahkan sesuatu, isteri perlulah mengucapkan terima kasih. Walaupun pemberiannya itu dianggap kecil dan murah harganya, bersyukurlah. Begitulah sebaliknya.
46. Bercakap dengan lembut dan merendah diri dengan suami
Ketika bercakap-cakap dan berbicara dengan suami, bercakaplah dengan nada suara yang lembut dan perlahan. Selain itu, merendah dirilah dengan suami kerana dia ketua keluarga. Jika perkara diamalkan setiap hari di dalam rumah. Bukan sahaja, rumahtangga akan menjadi harmoni malah anak-anak akan turut terdidik agar belajar berbicara dengan lembut dan sopan.
47. Beri tumpuan apabila pasangan bercakap
Memberi tumpuan ketika pasangan bercakap amat penting untuk menghormati dia sebagai suami. Elakkan daripada membuat perkara-perkara lain ketika dia bercakap. Apabila isteri memberi tumpuan ketika suami sedang bercakap, suami akan berasa dihargai dan dihormati. Semoga dengan cara ini bertambah eratlah kasih sayang. Begitulah sebaliknya suami perlu beri perhatian apabila isteri bercakap.
48. Tepati janji terhadap pasangan
Jika berjanji dengan suami atau isteri cuba tepati janji tersebut. Jika anda tidak mampu untuk menunaikan janji tersebut, telefon atau beritahu lebih awal. Ini lebih memudahkan pasangan anda.
49. Pelihara personaliti
Sebagai seorang isteri atau suami anda, anda perlulah menjaga personaliti di mana-mana sahaja. Jaga air muka pasangan dan pertingkatkan kehormatan pasangan anda dengan menjaga tingkah laku. Bukannya apa, kalau orang memuji anda seorang yang menjaga personaliti, tentulah nama suami atau isteri anda pun baik sama. Dan kalau anda difitnah pula, pasangan anda pun akan mendapat malu juga.
50. Sentiasa di sisi pasangan pada waktu susah dan senang
Bukan mudah untuk menjadi pasangan yang baik. Pasangan yang setia ialah pasangan yang sentiasa berada di sisi ketika susah dan senang. Tidak kira apa jua yang melanda, anda harus sentiasa memberikan sokongan kepada pasangan masing-masing.

51. Berfikir secara positif
Suami atau isteri perlu bersikap positif terhadap diri masing-masing. Dalam sebuah rumahtangga, jika tiada perasaan positif ini maka sukarlah untuk membina sebuah keluarga yang berjaya. Sikap negatif mudah masuk dan menguasai jika kita tidak berfikiran positif.

52. Mendoakan pasangan
Doa suami terhadap isteri dan doa isteri kepada suami amat diterima Allah s.w.t. Justeru, doakanlah pasangan anda perkara yang baik-baik seperti doa panjang umur dan murah rezeki. Rasionalnya mendoakan pasangan ialah kerana anda sayangkan pasangan anda.

53. Jadilah kawan karib pasangan
Tidak ramai para isteri atau suami yang boleh menjadi rakan karib kepada pasangan mereka. Kebanyakannya hanya menganggap pasangan sebagai suami atau isteri, tidak lebih daripada itu. Mereka janggal untuk berbicara dari hati ke hati dengan pasangan. Menjadi rakan karib pasangan boleh mengeratkan lagi kasih sayang yang sedia ada.

54. Berbincang dengan pasangan
Jika ada sesuatu perkara yang anda rasa tidak puas hati mengenai pasangan anda, bawa berbincang. Jangan pendamkan rasa tidak puas hati anda hanya di dalam hati. Luahkan semua ketidakpuasan hati anda kepada pasangan anda itu. Hal ini penting supaya anda berdua tidak berprasangka buruk terhadap pasangan.

55.Lazimnya isteri dilabelkan sebagai suka merungut terhadap sesuatu perkara
Itu tidak cukup ini tak cukup. Itu nak tukar ini nak tukar. Tapu, suami pun apa kurangnya. Sering merungut rumah bersepah, anak selekeh, masakan tak sedap dan macam-macam lagi. Apa kata kalau masalah itu diselesaikan bersama. Kalau hal kewangan, sama-samalah cari jalan untuk selesaikan. Jangan perlekehkan potensi wanita untuk cari duit lebih.

Kalau hal rumahtangga, suamipun kenalah turun padang. Jangan asyik komplen sahaja. Kalau lantai atau pinggan mangkuk kotor, andalah yang cuci. Suami kalau digunakan tenaganya untuk menguruskan rumah, mereka mampu jadi lebih hebat daripada isteri. Jangan perlekehkan peranan lelaki sebagai suami rumahtangga.

56. Ingat tarikh penting
Sila ingat tarikh penting pasangan seperti tarikh ulang tahunnya. Tarikh ini penting untuk diingati kerana pasangan pasti akan rasa dihargai jika orang yang tercinta ingat akan tarikh ulang tahun kelahirannya dan meraikan pula hari tersebut bersama-sama.

57. Seks sihat sebagai pengikat kasih
Seks yang sihat sangat penting untuk menjamin rumahtangga yang bahagia. Amalkan seks yang sihat ini bersama suami anda. Elakkan seks yang songsang dan menongkah arus. Seks yang sihat menjamin kesihatan fizikal dan mental yang sihat.

58. Jadilah jururawat yang baik
Bukan wanita sahaja yang boleh jadi jururawat, lelaki pun tidak kurang hebatnya. Jika pasangan sakit atau demam, anda wajar bertindak sebagai jururawatnya. Iringi dia ke klinik dan turut sama sertai perbincangan dengan doktor. Sedia dan uruskan keperluannya dan buatkan dia selesa. Bersihkan tubuhnya dan beri dia pakaian yang bersih. Sisirkan rambutnya dan urut perlahan tubuhnya. Jika perlu hiburkan hatinya dengan jenaka atau gurauan anda agar bebannya menanggung kesakitan dapat dikurangkan.

56. Pupuk hobi bersama
Anda boleh memupuk hobi bersama. Katakanlah hobi suami anda ialah memancing. Setiap hujung minggu dia akan memancing. Mula-mula anda mungkin tidak kisah akan hobinya itu. Apabila dia mulai ketagih dengan hobinya itu anda mungkin rasa tidak senang hati. Pepatah Inggeris ada mengatakan bahawa ‘if you can’t beat them, you join them’. Justeru, pupuklah hobi memancing bersama suami. Ikutlah dia memancing dan cubalah untuk mencintai aktiviti memancing.

60. Agama sebagai tiang agama
Agama amat penting sebagai teras sesebuah keluarga. Tanpa agama sesebuah rumahtangga sukar untuk dipertahankan. Agama sangat mustahak sebagai kayu pengukur utama keharmonian sebuah keluarga. Ketua keluarga atau suami yang tidak memiliki asas pengetahuan agama tidak mampu mengemudi keluarganya dengan baik.

61. Tidak bercakap perkara tidak senonoh di hadapan pasangan
Bercakap mengenai perkara-perkara yang tidak berfaedah seperti mengumpat hal orang lain, menyibuk hal seseorang dan menceceh tidak tentu fasal setiap jam, pasti membuatkan orang lain bosan dengan anda. Apatah lagi pasangan anda yang sentiasa berada di sisi anda. Cubalah kawal percakapan anda dan juruskanlah ia kepada perkara-perkara penting sahaja.

62. Bertolak ansur sesama pasangan
Bertolak ansur adalah suatu sikap yang paling baik dalam sesebuah rumahtangga. Tanpa unsur tolak ansur, pasangan suami isteri akan sentiasa berasakan bahawa mereka sahajalah yang wajib dituruti. Perkara ini salah. ‘Give anda take’ perlu ada untuk mengindahkan lagi sebuah perkahwinan dan hubungan kasih sayang.

63. Rangkullah pasangan
Tentu romantik dan indah sekali apabila suami anda tiba-tiba memeluk sewaktu anda sibuk dengan tugasan di rumah. Tambah romantik lagi, tengkuk anda dirangkul dan hinggap sebuah ciuman khas untuk anda. Mahu apa lagi. Tentu anda begitu gembira dengan tindakannya itu.

64. Ada sifat malu
Setiap pasangan tidak wajar berasa malu untuk meluahkan perasaan mereka sama ada dengan kata-kata atau tindakan. Bagaimanapun, setiap pasangan perlu ada sedikit perasaan malu pada diri sendiri misalnya masih mengekalkan kesopanan ketika makan, menjaga tatasusila di depan tetamu. Kadang-kadang sikap yang dikatakan malu-malu kucing itulah yang dapat meningkatkan kemesraan. Yang penting sifat malu ini biarlah bertempat.

65.Jangan cabar kesabaran pasangan
Suatu sikap yang negatif dalam rumahtangga ialah sikap suami atau isteri yang suka mencabar kesabaran pasangannya. Kenapa perlu mencabar ego suami atau isteri. Jika anda berasa sesuatu tidak kena dengan perjalanan rumahtangga anda, berbincanglah dengan pasangan anda. Jangan mengambil jalan mudah jika masalah tidak dapat diselesaikan. Mungkin masa yang lebih panjang dan pengalaman yang lebih luas mampu mengendalikan pasangan masing-masing.

66. Tidak mengkritik pasangan membuta tuli
Kebanyakan pasangan tidak gemar dikritik membuta tuli. Jika anda ingin mengkritik, kritiklah dengan cara berhemah. Kritiklah dengan rasa keinsanan yang tinggi. Ibarat kata pepatah ‘menarik rambut daripada tepung, rambut tak putus, tepung tidak tumpah.’

67. Manjakan pasangan
Setiap insan memang suka dimanjakan apatah lagi memanjakannya ialah pasangan yang tercinta. Memanjakan pasangan cukup sekadar dengan mengurut-urut badannya dan letakkan kepalanya diribaab anda sambil anda mengelus-elus rambutnya dengan lembut.

68. Melancong berdua untuk merehatkan fikiran
Setiap hari dibebankan dengan tugasan di pejabat dan karenah anak di rumah, sudah tentu anda rasa tertekan. Ambillah peluang untuk pergi melancong ke destinasi yang menarik. Rancang percutian anda berdua dengan aktiviti-aktiviti yang romantik seperti berlayar berdua-duaan di dalam kapal layar disewa khas. Biarpun nampak mewah dan belanjanya agak besar namun ia berbaloi.

69. Berkebun dan lakukan kerja-kerja di kebun bersama
Suami anda mengembur tanah. Anda pula menanam benih pokok. Suatu jalinan kerjasama yang patut dilakukan oleh pasangan untuk mengeratkan lagi kasih sayang. Mencangkul bersama-sama begitu juga menyiram pokok bunga. Nampak mesra sekali.

70. Mandi bersama
Jika anda mandi bersama tidak mendatangkan apa-apa manfaat, anda silap. Mandi bersama akan menerbitkan rasa kasih sayang yang sungguh luar biasa antara anda dan pasangan.Jika anda ingin tahu sejauh mana keberkesanan mandi bersama, cubalah hari ini. Ajak pasangan anda mandi bersama. Anda sabunkan dia dan dia pula syampu rambut anda. Cubalah!.

71. Malan diluar bersama tanpa kehadiran anak-anak
Makan di luar tanpa kehadiran anak-anak akan membuatkan pasangan yang telah lama berkahwin rasa muda kembali. Malah, akan teringat pula masa zaman bercinta dahulu. Rancang satu hari tertentu untuk makan bersama pasangan anda. Tidak perlu ke restoran yang mahal. Cukuplah dengan warung-warung atau restoran makanan segera.

72. Telefon pasangan untuk menyatakan kasih sayang
Anda boleh menelefon pasangan di pejabatnya hanya untuk menyatakan perasaan kasih sayang anda kepadanya. Nyatakan dengan penuh perasaan dan minta dia bereaksi dengan perasaan anda itu.

73. Tolong pasangan mencuci pinggan dan kemas meja makan
Suami boleh membantu isteri mencuci pinggan. Selepas makan, ambil punggan di meja dan nyatakan pada isteri bahawa anda akan membasuh pinggan. Ketahuilah bahawa sikap anda itu akan menerbitkan rasa yang sungguh bermakna di hati isteri.

74. Rasa cemburu perlu ada untuk eratkan kasih sayang
Pasangan suami dan isteri tidak boleh terlalu melepaskan pasangan mereka tanpa ada sedikit rasa cemburu. Cemburu perlu ada. Namun, biarlah ia bertempat. Cemburu sebenarnya boleh mengeratkan kasih sayang jika kena caranya.

75. Serikan katil dengan cadar yang menarik, jambangan bunga dan langsir yang menarik.
Mungkin ramai yang bersetuju bahawa keharmonian hubungan suami dan isteri bermula dari kamar beradunya. Justeru, isteri perlulah bijak menghias bilik tidur. Kamar tidur pasti menjadi lebih menarik jika dihiasi dengan jambangan bunga yang segar dan paduan langsir yang berwarna-warni.

76. Hiasi bilik dengan lilin
Lilin sering dikaitkan dengan suasana yang romantis. Ada pasangan yang sukakan kehangatan lilin menghiasi bilik mereka.

77. Jangan merokok depan pasangan
Jika pasangan tidak suka akan abu asap rokok, jangan merokok di hadapannya atau di dalam rumah. Anda perlu menghormati keselesaannya. Lagipun, bahaya perokok pasif sama dengan bahaya perokok aktif. Tapi jika anda tetap meneruskan tabiat itu, pastikan anda memberus dahulu gigi dan berkumur dengan ubat kumur sebelum bermesra dengan isteri, Takut nanti ada yang pitam tiba-tiba.

78. Tidak bercakap kasar dan keras
Sebagai seorang yang waras dan matang anda tidak wajar bercakap dengan suara yang keras dan kasar. Jika anda marah sekalipun, bawalah bertenang. Bercakap tanpa dikuasai oleh emosi. Baik suami atau isteri, tiada siapa yang gemarkan pasangannya membentak atau menengking.

79. Setiasa berbau wangi ketika bersama pasangan
Jika anda berbau busuk di hadapan pasangan, anda akan dapat melihat reaksinya yang tidak senang dengan anda. Sudah tentu anda rasa malu dengan tegurannya. Jika anda tidak mahu ditegur begitu, maka ubahlah sikap anda. Pakailah haruman apabila berhadapan dengan pasangan.

80. Berpegangan tangan sewaktu berjalan-jalan
Kenapa malu-malu hendak berpegangan tangan dengan suami mahupun isteri jika berada di khalayak ramai? Ambil tangan pasangan anda dan genggamlah dengan erat. Berjalan berpegang tangan akan tambah mengeratkan lagi kasih sayang anda. Percayalah!

81. Mengaitkan jari jemari anda dengan jari-jemarinya
Apabila sudah berpegangan tangan, kaitkan jari-jemari anda dengan jari-jemari pasangan anda itu. Jika nakal sedikit, garu-garulah tapak tangan pasangan anda. Tentu pasangan anda rasa geli dan tertawa riang.

82. Jangan menipu pasangan
Jangan sekali-kali menipu atau mencuri barang pasangan anda. Jika anda mengambil duitnya beritahu pasangan anda dengan jujur. Menipu pasangan merupakan suatu sifat yang sangat buruk dan boleh mengundang kehancuran dalam sesetengah rumahtangga. Sekali dia tertipu, sukar untuk dia percaya pada anda lagi.

83. Selamat malam sayang – Lepaskan coli, pakai baju tidur paling jarang dan godalah suami anda
Anda boleh mencuba cara ini jika anda mahu. Malu? Kenapa mesti malu. Dia suami anda yang sah. Malam ini sebelum tidur. Pakailah pakaian tidur paling jarang dan seksi yang anda miliki tanpa memakai coli didalamnya. Godalah suami anda dengan gaya yang paling berani.

84. Lakukan gerobik seks berdua
Sebelum melakukan seks anda boleh melakukan aerobik seks seperti mengurut-urut secara sensual tubuh pasangan anda itu. Aerobik seks ini dilakukan di mana-mana sahaja di dalam rumah anda. Selepas membersihkan diri duduklah bersantaian dengan pasangan anda dan lakukanlah aerobik seks.

85. Makan sepinggan
Kadang-kadang teringat kenangan manis sewaktu bercinta. Makan sepinggan boleh berdua. Kali ini anda boleh ulangi kembali sejarah manis anda sewaktu dulu-dulu. Makan sepinggan berdua ini bukanlah membayangkan anda kedekut. Cuma, anda perlu buat sekali-sekala untuk menambahkan lagi kasih sayang.

86. Jangan puji orang lain berlebihan
Tak puji dirinya tak apa. Tapi jangan puji orang lain depannya. Pantang bagi si isteri jika suaminya memuji wanita lain secara keterlaluan atau kerap di hadapannya. Jika anda ingin sangat memuji wanita itu lihat dahulu ‘mood’ isteri dan siapa wanita itu. Jika ‘moodi’nya baik, mungkin dia tidak berasa cemburu dan tertekan dengan pujian anda itu. Kalau setakat Siti Nurhaliza, mungkin tidak mengapa.

87. Hiasi bilik tidur dengan sinar lampu yang samar dan romantik
Lampu tidur dengan cahaya yang samar-samar dan romantik sangat membantu anda apabila berada di bilik tidur bersama pasangan. Ada pasangan yang sukakan cahaya yang lebih gelap dan ada yang sukakan yang sedikit cerah. Terpulang kepada anda.

88. Sapukan gel pencukur saat suami anda sedang bercukur
Anda boleh membantu menyapu krim pencukur pada saat suami anda sedang sibuk bercukur. Jadikan saat-saat ini suatu aktiviti yang menyeronokkan. Untuk menjadi sedikit nakal, sapulah gel pencukur di tempat-tempat lain seperti di putting teteknya atau di mana-mana sahaja yang anda fikir sesuai.

89. Syampukan rambutnya saat anda mandi bersama
Bayangka anda sebagai ‘syampoo girl’ di salun rambut yang sedang membasuh dan meramas rambut pelanggan. Begitu jugalah sewaktu anda syampukan rambut suami di saat anda mandi bersama. Ramaslah dengan lembut rambutnya sehingga dia seolah-olah terlena dengan belaian anda.

90. Sekali-sekala langgar tubuh pasangan secara tak sengaja dan raba bahagian tubuhnya yang erotis
Pernahkan anda melakukan perkara di atas? Kenapa tidak anda lakukan hari ini? Sentuh tubuh anda dengan tubuh pasangan secara tidak sengaja dan ambil kesempatan untuk meraba punggung atau pahanya dengan cara yang erotis dan memberahikan. Kadang-kadang ramai orang menganggap cara ini membuang masa. Tetapi anda boleh mencuba acara ini dan lihatlah kesannya kelak.