Tempoh pantang memang suatu jangkamasa yang membosankan. Banyak perkara-perkara
yang sebelum ini menjadi kebiasaan terpaksa ditinggalkan dan pada masa yang sama
amalan-amalan baru terpaksa diikuti kerana bimbang akan menjadi bentan dan
sebagainya.
Karenah sewaktu hamil juga kadangkala boleh mememningkan kepala.
Kerap yang berlaku adalah mengidam. Dalam keadaan ini, ahli keluarga yang
terdekat akan menjadi "mangsa" dan biasanya si suamilah. Seboleh-bolehnya suami
perlu memahami keadaan isteri dan bersedia mendapat apa yang dihajati selagi ia
tidak melanggar syariat agama.
Mengidam berlaku kerana perubahan hormon pada awal waktu
mengandung., menjadikan selera ibu menurun. Jadi pada ketika ini, ibu akan
teringin untuk makan apa yang terlintas dibenaknya. Mengidam juga dikaitkan
dengan nafsu. Adakalanya apa yang diidamkan itu bersalahan dengan syariat dan
keterlaluan, maka di sini ibu perlu banyak bersabar. Anggaplah ini merupakan
ujian Allah s.w.t kepada hambaNya yang akan bergelar seorang ibu. Ibu-ibu
perlulah bersabar, jangan terlalu mengikut nafsu.
Tabiat terlalu mengikut hati ini akan memberi kesan kepada
anak-anak apabila dilahirkan kelak. Ibu yang sabar dan tabah akan melahirkan
zuriat yang tingi jatidirinya. Manakala sikap ibu yang terlalu "memanjakan" diri
dikhuatiri kelak anaknya menjadi "spoil".
Dalam membicarakan tentang pantang larang dan adat istiadat
sewaktu mengandung ini, terdapat beberapa amalan yang masih dipraktikkan
walaupun sudah tidak banyak seperti dahulu. Sebagai contohnya seperti adat
melenggang perut untuk mengetahui jantina bayi. Buah kelapa akan diletakkan di
atas perut ibu, dan selepas itu kelapa itu dibiarkan jatuh. Sekiranya jatuh ke
kiri ibu itu dikatakan akan melahirkan anak lelaki dan sekiranya jatuh ke kanan
akan melahirkan anak perempuan.
Dalam masyarakat Melayu terdapat beberapa pantang larang yang
masih lagi menjadi ikutan. Wanita-wanita hamil dilarang dari melakukan
perkara-perkara berikut:
-
Dilarang mencaci atau mengumpat, membuat fitnah, iri hati juga bergaduh
terutamanya dengan ibu mertua. Perbuatan tersebut dipercayai akan mempengaruhi
perangai anak yang bakal lahir. Ibu mengandung juga akan mengalami kesulitan
semasa melahirkan anak. Yang sebenarnya, tujuannya larangan di sini adalah untuk
melahirkan rasa hormat kepada orang tua da selalunya ibu mertua turut menjaga
dan membantu sewaktu dalam pantang.
-
Dilarang memaku, memahat dan menggali lubang. Tidak boleh memukul atau
mencederakan binatang kerana dikhuatiri akan menyebabkan anak yang bakal lahir
cacat anggota badan.
-
Dilarang keluar rumah pada waktu petang atau senja kerana dikhuatiri hantu
akan menggusiknya.
-
Hendaklah menjauhi pergaulan dengan orang yang tidak jujur atau rendah
maruahnya, kerana dipercayai ini akan mempengaruhi perangai anak yang bakal
lahir.
-
Dilarang melihat gerhana bulan ataupun matahari kerana dikhuatiri anak yang
bakal lahir akan cacat atau berkulit gelap.
-
Dilarang duduk di anak tangga kerana dipercayai perbuatan ini akan
mendatangkan kecelakaan kepada ibu sewaktu hendak melahirkan anak.
-
Ibu juga dilarang memikul batu kerana dikhuatiri anak dalam kandungan menjadi
lumpuh. Tidak boleh menanam pokok pisang kerana dikatakan perbuatan ini boleh
menyebabkan anak berkepala besar yang luar biasa.
-
Ditegah menyusun tempurung kerana dikhuatiri anak yang dilahirkan akan botak
kepalanya.
- Ibu mengandung juga tidak boleh membiarkan anak-anak melangkah perut kerana dikhuatiri anak akan lahir cacat atau dilahirkan tidak cukup bulan. Dilarang tidur pada waktu tengah hari kerana dikhuatiri kepala anak yang bakal lahir akan menjadi besar.
Selain pantang larang yang dinyatakan di atas terdapat beberapa
pantang larang lagi yang bersangkut dengan suami kepada ibu mengandung:
-
Suami kepada ibu mengandung pula dilarang meniup seruling atau alat bunyi
bunyian kerana dikhuatiri anak yang akan dilahirkan sentiasa menangis.
-
Suami juga dilarang menyembelih ataupun pergi memburu binatang kerana
dikhuatiri anak yang bakal lahir cacat anggota badannya.
- Suami juga dilarang memukul, membunuh binatang seperti ular dan sebagainya kerana dipercayai anak yang lahir akan cacat atau kenan binatang tersebut.
Sejauhmana benar pantang larang ini. Namun apa yang penting di
sini ialah sebagai bakal ibu dan ayah, manusia perlu senantiasa menjaga sikap
dan tingkah laku, apatah lagi ketika hamil. Hanya kepada Allah s.w.t sahaja
tempat hambanya meminta dan memohon agar tiada bala bencana ke atas kita
sekeluarga InsyaAllah. Moga di anugerah anak yang comel lagi soleh.
Sekian.
No comments:
Post a Comment